Advertising
Liga Super: Penang Sekat Hajat Tiga Mata Sabah
MakanBola
Penang FC

Sabah membuka kempen Liga Super musim 2024/25 dengan satu mata apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan pasukan utara tanah air, Penang FC.

Segar daripada kejayaan bergelar juara Piala Sabah Maju Jaya (SMJ Cup), skuad Badak mengekalkan tonggak-tonggak utama seperti Saddil Ramdani, Ramon Machado dan kapten Park Tae-soo dalam kesebelasan utama.

Sementara Penang pula menurunkan trio pemain import baru iaitu Rodrigo Dias, Richmond Ankrah dan Neto Oliveira dalam kesebelasan utama.

Ad

Perlawanan hari ini turut menyaksikan sistem bantuan video pengadil (VAR) tidak dapat digunakan kerana mengalami masalah teknikal. Masalah sama turut dihadapi dalam perlawanan Sri Pahang FC-Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) semalam.

Babak pertama menyaksikan Sabah berusaha mendapatkan gol pendahuluan menerusi trio penyerang Saddil, Machado dan Darren Lok.

Ad
Ad

Situasi ini memaksa barisan pertahanan Harimau Kumbang diketuai kapten, Rafael Vitor dan Ankrah terpaksa bekerja keras menyerap asakan tuan rumah.

Ad

Peluang terbaik Sabah hadir pada minit ke-23 menerusi penyerang kebangsaan, Darren Lok. Malangnya, tandukan beliau gagal menemui sasaran.

Sementara Penang pula mengancam menerusi pemain import baru mereka, Neto. Pemain tengah menyerang dari Brazil itu kerap melakukan hantaran-hantaran yang menguji pertahanan tuan rumah diketuai Gabriel Peres.

Kedua-dua pasukan berusaha memecahkan kebuntuan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, kedua-dua pasukan terus mempergiatkan serangan untuk mendapatkan gol. Machado hampir memecah kebuntuan untuk skuad Badak pada minit ke-54.

Walau bagaimanapun, penyerang berusia 33 tahun itu hampa apabila percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Harimau Malaya, Sikh Izhan Nazrel.

Sabah kemudiannya mendakwa mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti pada minit ke-77 selepas bola didakwa terkena tangan Ankrah. Protes pemain tuan rumah tidak dilayan oleh pengadil, Zamzaidi Katimin.

Neto hampir mendapatkan gol kemenangan buat Harimau Kumbang pada minit ke-81 tetapi percubaannya tersasar. Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Penang dan Sabah masing-masing menduduki tangga keempat dan kelima dengan satu mata. Kedudukan ini boleh berubah apabila KL City FC melayan kunjungan Kuching City FC malam ini.

Selepas ini, Sabah akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu untuk menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 17 Mei. Manakala Penang turun menentang Terengganu FC pada 19 Mei.