Hasrat Negeri Sembilan untuk bangkit daripada kekalahan memalukan 7-0 di tangan Johor Darul Ta’zim pada minggu lepas tidak kesampaian. Ini selepas perlawanan mereka dengan KL City hari ini terpaksa ditangguhkan susulan hujan lebat di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut menghasilkan peluang menjaringkan gol disebabkan hujan lebat. Ini memaksa kedua-dua pasukan memilih sepakan jarak jauh dengan harapan membolosi gawang Kevin Ray Mendoza (KL City) atau Sikh Izhan Azrel (Negeri Sembilan).
Kapten City Boys, Paulo Josue hampir mencemaskan pertahanan Negeri Sembilan dengan sepakan jarak jauh pada minit ke-24. Bagaimanapun, Sikh Izhan menghela nafas lega apabila percubaan pemain naturalisasi negara itu hanya melepasi palang gol.
Beberapa minit selepas itu, giliran Levy Madinda pula menguji kecekapan Mendoza menerusi satu sepakan percuma. Tetapi ia mudah diselamatkan penjaga gol Filipina itu sebelum perlawanan kemudiannya ditangguhkan pada minit ke-28 berikutan hujan yang semakin lebat di STAR.
Dengan padang digenangi air dan cuaca dilihat masih tidak mengizinkan, komisar perlawanan mengisytiharkan perlawanan hari ini ditunda dan bakal disambung ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak. Hal ini turut diumumkan Negeri Sembilan menerusi laman media sosial mereka.
Dengan perlawanan hari ini ditangguhkan, fokus tuan rumah beralih kepada Terengganu pada 16 Mac ini untuk perlawanan Liga Super seterusnya. Ini dilihat percubaan kelima buat anak-anak buah Devan mendapatkan kemenangan pertama liga musim ini.
Sementara KL City pula bertandang ke Kota Bharu pada 17 Mac ini bagi memburu kemenangan pertama mereka dalam liga.