Liga Super: Selangor Menang Selesa Ke Atas KL City
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor menundukkan seteru setempat, KL City dengan keputusan 3-0 dalam aksi minggu ke-4 Liga Super musim 2026-2027 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.

The Red Giants menurunkan Sikh Izhan di bahagian penjaga gol dan Faisal Halim menggalas lilitan kapten manakala Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan.

Sementara itu, KL City membariskan Ameerul Eqhwan di benteng terakhir dan Paulo Josue sebagai ayam tambatan pasukan tersebut.

Selangor tampil garang dengan melancarkan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang The City Boys namun ketangkasan penjaga gol pasukan tersebut harus diberi perhatian.

KL City dilihat bermain secara bertahan tampak memberikan kesukaran kepada pemain-pemain Selangor untuk memasuki kawasan kotak penalti pasukan tersebut.

Pemain tempatan baharu Selangor musim ini, A. Selvan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-26 selepas percubaan Chrigor Moraes gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol pihak lawan sekali gus membuka peluang kepada bekas sayap lincah Negeri Sembilan itu.

Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan masa tambahan babak awal apabila separuh masa pertama tamat dengan keputusan 1-0 memihak tuan rumah, Selangor.

Bersambung babak kedua perlawanan, Selangor dilihat meningkatkan intensiti perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan awal namun bagi mendapatkan gol tambahan.

Merah Kuning menambah derita pasukan KL City menerusi jaringan cantik ayam tambatan Selangor, Chrigor Moraes pada minit ke-48 sekali gus menggamatkan ribuan penyokong setia The Red Giants di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

The City Boys dilihat mengasak kubu Selangor melalui percubaan Baqiuddin Shamsudin namun gagal menepati sasaran gawang Merah Kuning.

Faisal Halim & Chrigor Moraes turut melakukan gerakan berbahaya pada minit ke-65 dalam kawasan kotak penalti KL City namun gagal menembusi jaring buat kali ketiga.

Eduardo Sosa meledak gol ketiga Merah Kuning pada minit ke-73 bagi memastikan The Red Giants meraih 3 mata penuh dalam aksi ini.

Perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tamat dengan keputusan 3-0 memihak Selangor.