Aksi Liga Super hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Sri Pahang FC dan Selangor FC. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur menyaksikan pasukan Pahang berjaya mengatasi Selangor, 2-0.
Gol pertama perlawanan tercetus menerusi pemain import Pahang, Steven Rodriguez rentetan kesilapan mudah yang dilakukan pertahanan pelawat, Yazan al-Arab. Tindakan kurang cermat Yazan sekaligus menghukum gawang pasukan Selangor.
Selang lima minit selepas jaringan pertama terhasil, Abdul Malik Mat Ariff menambah duka buat skuad kendalian Michael Feichtenbeiner apabila beliau mencatat nama sebagai penjaring pada minit ke-39 permainan.
Separuh masa pertama tamat dengan keputusan Sri Pahang 2-0 Selangor.
Babak separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak mendominasi permainan. Barisan serangan Selangor terus ghairah menghalakan asakan ke kubu Sri Pahang demi mencari jaringan.
Bagaimanapun kekentalan barisan pertahanan Sri Pahang tidak dapat disangkal. Penjaga gol import Sri Pahang, Mamadou Samassa turut menjadi nadi kepada kekebalan skuad kendalian Dollah Salleh.
Lima minit masa tambahan yang diberikan pengadil tidak mengubah keputusan perlawanan. Sri Pahang catat kemenangan bergaya, mengutip tiga mata di laman sendiri menewaskan Selangor dengan keputusan 2-0.