Liga Super: Tandukan ‘Duo Lejen’ Ranapkan Harapan Kedah

Mahali Kyril Liga Super: Tandukan 'Duo Lejen' Ranapkan Harapan Kedah
Unifi
Azri Haziq @azrihazq
11:21pm 10/05/2022

Harapan pasukan Kedah Darul Aman FC untuk mencatat kemenangan akhirnya musnah setelah kebangkitan saat-saat akhir pasukan tuan rumah, PJ City. Perlawanan yang berlangsung di Stadium MBPJ itu menyaksikan PJ City berjaya mengikat KDA FC dengan keputusan 3-3. 

Ledakan hatrik pemain import KDA FC, Ngah Wanja pada minit ke-21, 33 dan 66 juga tidak cukup untuk memastikan kemenangan mutlak pasukan Sang Kenari.

Percaturan pengendali PJ City, P. Maniam membuahkan hasil setelah menggandikan ‘duo lejen’ iaitu Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen pada babak kedua permainan. Dua pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian ini menjadi super-sub sempurna buat PJ City.

Setelah ketinggalan 3-1 kepada pasukan KDA FC, kehadiran Mahali Jasuli telah membuka sinar baharu buat PJ City untuk merapatkan kedudukan. Pada minit ke-77 permainan, tandukan Mahalli telah memberikan gol kedua buat PJ City.

Aura kebangkitan diteruskan apabila Khyril Muhymeen turut mencatat nama sebagai penjaring. Pada minit ke-83 permainan, tandukan cantik Khyril Muhymeen yang menggegar jaring memastikan keputusan seri berjaya dicatat PJ City.

Pasukan yang terkenal dengan jolokan Yakini Lokal ini berjaya menyekat kemenangan skuad kendalian Aidil Shahrin Sahak. Perlawanan tamat, PJ City dan KDA FC masing-masing sekadar mengutip satu mata, menyaksikan PJ City kini berada di kedudukan ketujuh liga sementara KDA FC berada ditangga kedua liga.