Liga Super: Terengganu Hampiri Slot Asia Tewaskan KL City

KL City
Azri Haziq
@azrihazq
11:11pm 11/10/2022

Aksi Liga Super LS21 melibatkan pertembungan antara pasukan KL City dan Terengganu.

Skuad kendalian Nafuzi Zain turun dengan barisan terkuat meletakkan gandingan Kipre, Faisal Halim dan Nik Sharif di bahagian serangan. Sementara KL City tempang tanpa pemain utama, Giancarlo Gallifuoco dan Declan Lambert yang direhatkan. 

Jaringan pembukaan hadir menerusi pemain tengah Terengganu, Manuel Ott yang berjaya merembat masuk bola pada minit ke-39 permainan.  

Sebelum separuh masa pertama tamat, kapten pasukan Terengganu, Tchetche Kipre menanduk masuk hantaran Nik Sharif. Tandukan Kipre gagal diselamatkan penjaga gol City Boys, Kevin Ray Mendoza.

Separuh masa pertama tamat, KL City 0-2 Terengganu. 

Babak separuh masa kedua bermula dengan pertukaran awal dilakukan pengendali tuan rumah, Bojan Hodak. Beliau memasukkan Hadin Azman dan Kenny Pallraj bagi menggantikan Partiban dan Ryan Lambert. 

Kemasukan dua pemain ini sekaligus menyeimbangkan perlawanan. Kedua-dua pasukan saling bertukar serangan dalam usaha mencari jaringan.

Pada minit ke-64 permainan, pasukan tuan rumah mencetak jaringan pertama menerusi penyerang sensasi mereka, Romel Morales. Hantaran jarak jauh daripada Akram Mahinan telah disudahkan cantik Romel Morales dengan tandukan. 

Selepas jaringan Romel terhasil, KL City beberapa kali berpeluang untuk mencipta jaringan. Namun benteng Terengganu kental hingga tamat permainan.

Empat minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, Terengganu berjaya menewaskan KL City dengan keputusan 2-1.