Bintang Manchester United, Lisandro Martinez mengakui beliau pernah menimbang kemungkinan untuk bersara awal susulan kecederaan serius yang dialaminya sebelum ini.
Perkara ini didedahkan bek tengah Argentina itu selepas aksi pusingan 32 pasukan terbaik Piala Dunia menentang Cape Verde baru-baru ini.
Martinez mengakui beliau pada awalnya mahu bersara selepas bergelut dengan masalah kecederaan serius. Semua itu berubah menerusi kelahiran puteri tercintanya sekaligus menjadi perangsang buat beliau untuk berjuang dan kembali cergas.
“Saya pernah mempertimbang kemungkinan bersara dari bola sepak selepas saya mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada tahun lalu. Saya tak mahu menderita lagi, anda tahu?” katanya seperti dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
“(Moral) saya berada pada tahap paling rendah tetapi kemudiannya anak perempuan saya lahir. Dan itu membantu mengimbangi segala-galanya bagi saya.
“Saya lihat bagaimana isteri saya melahirkan anak dan usaha keras yang dia tunjukkan dan saya kata pada diri sendiri: Macam mana saya nak berhenti berjuang?”
Martinez turut menjadikan rakan sepasukan dan kapten La Albiceleste, Lionel Messi sebagai inspirasi. Ini kerana Messi telah mengharungi pelbagai situasi tetapi beliau tidak pernah mengaku kalah.
“Leo Messi ialah contoh terbaik kerana beliau telah mengharungi banyak perkara dalam kariernya, beliau mengalami kehilangan dan beliau tidak pernah menyerah kalah.
“Hari ini, beliau di sini pada usia 39 tahun, berjuang dan beliau sudah memenangi segala-galanya. Beliau tiada apa-apa yang mahu dibuktikan. Beliau pemain terbaik dalam sejarah bukan saja bola sepak tetapi semua sukan. Ia satu perkara gila.
“Dan bagi kami yang mengikuti beliau dari belakang, bagaimana kami tidak mahu berjuang jika pemain terbaik melakukannya dengan semangat sebegitu rupa? Kami harus mengikuti beliau dengan cara yang sama,” tambahnya.
Martinez antara penjaring gol Argentina ketika menewaskan Cape Verde 3-2. La Albiceleste akan berdepan Mesir dalam pusingan 16 pasukan terbaik untuk merebut tiket suku akhir.