Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool bakal mengadakan jelajah pra-musim di Asia.
Ini selepas kelab Merseyside itu mengumumkan tarikh jelajah pra-musim di laman sesawang rasmi mereka. Ini kali pertama mereka kembali ke Asia sejak tahun 2023.
Liverpool dijadual bakal bertemu dengan kelab gergasi Itali, A.C. Milan di Stadium Kai Tak, Hong Kong. Kedua-dua pasukan bakal berentap untuk merebut Standard Chartered Trophy.
Selain Hong Kong, The Reds juga bakal mengatur aksi pra-musim di Jepun. Maklumat tentang aksi di Negara Matahari Terbit itu bakal dikongsikan dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Komersial (CCO) Liverpool, Ben Latty memaklumkan kelab itu cukup teruja kerana dapat kembali ke Asia.
“Kami amat teruja untuk kembali ke Asia untuk jelajah pra-musim untuk musim panas ini. Kami tidak sabar untuk membawa jutaan peminat di Asia lebih rapat dengan kelab yang mereka cintai,” katanya dalam satu kenyataan.
Liverpool mengikut jejak beberapa kelab EPL yang merancang jelajah pra-musim atau pasca-musim di Asia.
Manchester United telah mengumumkan perancangan mengadakan jelajah pasca-musim di Malaysia selepas tamat musim 2024/25.
Naib juara liga musim 2023/24, Arsenal juga bakal ke Hong Kong pada musim panas ini. Mereka bakal berentap dengan musuh tradisi, Tottenham Hotspur di Stadium Kai Tak pada 31 Julai.