Luqman Hakim Diberikan Minit Berharga Di Piala Belgium
Dunia
Luqman Sham 10
Advertisements

Semalam, saingan liga dan piala negara-negara Eropah kembali bersambung termasuk Piala Belgium. Dan kelab KV Kortrijk yang dimiliki Tan Sri Vincent Tan berjaya mara ke suku akhir selepas menewaskan OH Leuven 3-1. Kemenangan tersebut turut menyaksikan penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin diturunkan sebagai pemain gantian pada minit-minit akhir perlawanan.

Kortrijk yang dibimbing bekas jurulatih Hungary, Bernd Storck mengasak OHL sebaik sepak mula. Bagaimanapun, asakan bertubi-tubi De Kerels berjaya dinafikan barisan pertahanan Leuven diketuai penjaga gol Romania, Valentin Cojocaru. Kedudukan 0-0 kekal sehingga rehat.

Pada babak kedua, Kortrijk menggandakan asakan dan berjaya memecah kebuntuan menerusi Massimo Bruno pada minit ke-55 selepas menerima umpanan Faiz Selemani. Derita Leuven terus bertambah apabila bek kiri Hamza Medyl dilayangkan kad merah oleh pengadil selepas membuat terjahan keras ke atas penyerang Billel Messaoudi pada minit ke-72.

Advertisements

Kelebihan 11 pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh anak-anak buah Storck untuk mendominasi perlawanan. Sembilan minit selepas itu, Kortrijk terus selesa menerusi gol Habib Keita. Bekas penyerang Ternana, Felipe Avenatti menambah gol ketiga pada minit ke-86. OHL kemudiannya mendapat gol saguhati menerusi penyerang Sepanyol, Mario Gonzalez pada minit ke-89.

Dengan kemenangan dalam genggaman, Storck berupaya membuat beberapa pertukaran pada masa tambahan. Ini termasuk memasukkan Luqman Hakim menggantikan Selemani pada minit ke-89. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Para pemain termasuk Luqman Hakim dan staf kejurulatihan kemudiannya meraikan kemenangan bersama para penyokong selepas tamat perlawanan.

Luqman Hakim berpeluang menambah lagi minit permainannya bersama De Kerels selepas ini. Fokus Kortrijk selepas ini ialah menentang Racing Genk untuk perlawanan Liga Pro Belgium seterusnya pada 27 Disember. Bekas penyerang muda Selangor II itu berharap kemunculannya dapat memberi keyakinan kepada Storck untuk lebih banyak peluang bersama pasukan utama.

Advertisements
Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram