Advertisement
Kemasukan Luqman Hakim ‘Hidupkan’ Jentera Serangan Malaysia
Dunia
MakanBola
Luqmansham_10

Persembahan penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin jelas memberi impak yang cukup luar biasa ketika membantu skuad negara mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas pasukan Kemboja sebentar tadi.

Kemasukan pemain berusia 19 tahun itu jelas menunjukkan kematangan dan juga persefahaman yang baik terutamanya dengan kepantasan yang dimiliki oleh beliau merupakan aset terbaik buat Harimau Malaya.

Luqman yang mesra disapa ‘Luqie’ ini dimasukkan oleh jurulatih, Tan Cheng Hoe pada babak kedua perlawanan menggantikan penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula dalam usaha pasukan negara menggandakan kedudukan.

Ini jelas merupakan percaturan terbaik oleh Cheng Hoe setelah Luqman memainkan peranan dalam penciptaan dua lagi gol yang menambah derita pasukan kendalian Keisuke Honda.

Bukan itu sahaja, larian-larian yang dilakukan olehnya sering berjaya mencari rakan sepasukan dan ternyata ianya berhasil apabila hantaran cantik oleh pertahanan kanan, Rizal Ghazali singgah di kaki pemain kelahiran Kota Bharu ini yang menolak ke depan sebelum melakukan satu hantaran lintang leret dan disudahkan dengan begitu cemerlang oleh Kogileswaran Raj untuk gol ketiga Malaysia.

Malah, gandingan bersama pemain lain seperti Shahrel Fikri, Arif Aiman dan juga Kogi jelas terpapar sungguhpun tidak beraksi dengan kerap selain pengalaman beraksi bersama Mukhairi Ajmal di bawah kendalian Brad Maloney juga membantu persembahannya di atas padang.

Pengalaman dan latihan di Eropah juga telah membantu untuk meningkatkan mutu permainan beliau sungguhpun masih lagi muda dan berpotensi untuk mengembangkan bakat dengan lebih jauh pada masa akan datang.

Malaysia bakal meneruskan aksi kedua menentang Laos pada 9 Disember ini.