Pemain baharu kelab FK Njardvik, Luqman Hakim mengakui sebenarnya menerima tawaran daripada sebuah kelab dari Liga Lithuania.
Bintang Harimau Malaya ini sudah pun mengembangkan perjalanan kariernya selama 3 tahun di Belgium bersama KV Kortrijk.
Namun begitu, beliau memilih untuk mengembangkan bakatnya ke tempat lain bagi mendapatkan minit permainan.
Dalam satu temubual dalam talian bersama Era FM, Luqman memberitahu bahawa ejennya ada memperoleh beberapa tawaran lain sebelum memilih untuk ke Iceland.
Katanya, beliau ada ditawarkan beraksi di Liga Lithuania bersama kelab di sana namun terdapat halangan untuk beliau ke sana.
“Saya ada menerima tawaran daripada Liga Lithuania tetapi saya tidak dapat pergi.”
“Kelab tersebut tidak dapat membayar jumlah yang sama seperti saya terima di KV Kortrijk, jadi saya memilih untuk ke Njardvik,” jelasnya.
Beliau pernah menjelaskan bahawa keputusannya untuk ke Iceland adalah disebabkan kesungguhan ketua jurulatih kelan yang mahu mendapatkan khidmatnya.
Luqman masih tidak dapat diturunkan kerana perlu menunggu urusan permit kerjanya diselesaikan.
Beliau dijangka akan diturunkan dalam perlawanan latihan yang akan diadakan tidak lama lagi dan Njardvik turut mendedahkan bahawa mereka sudah bekerja keras untuk menyelesaikan kertas kerja perpindahan Luqman.