Luqman Hakim Memang Power

MAS Luqman Luqman Hakim Memang Power
FAM
Nik Faris @nikfalovic
9:44pm 11/05/2022

Penyerang muda pasukan bawah 23 tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin terus menjadi duri dalam daging buat pasukan lawan apabila menjadi watak penting ketika membantu Malaysia mencatatkan kemenangan ke atas Laos 3-1.

Pemain KV Kortrijk itu sekali lagi mendapat kepercayaan ketua jurulatih, Brad Maloney untuk mengetuai jentera serangan bersama-sama Danial Asri dan juga Shahir Bashah.

Beliau tidak mensia-siakan peluang yang diberikan apabila terus menekan barisan pertahanan Laos seawal minit pertama permainan.

Kelajuan yang dimiliki oleh pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini seringkali menguji benteng lawan yang kelihatan sukar untuk merantai pergerakannya.

Luqman juga menjadi aset penting ketika Malaysia memperoleh sepakan percuma nyata membuatkan gawang gol lawan semakin mudah didekati.

Hal ini menambah keyakinan pemain bertubuh kecil ini untuk menyelinap masuk melakukan larian ke dalam kotak penalti lawan.

Selepas beberapa kali memperoleh peluang dan merencanakan gerakan, beliau akhirnya berjaya menoktahkan jaringan apabila gerakan lincah dari sebelah kiri padang membuahkan hasil.

Luqman melihat keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti Laos sebelum memilih untuk melepaskan rembatan melepasi kawalan penjaga gol Laos yang sudah keluar dari posisi.

Ini diraikan dengan penuh kesyukuran oleh para pemain.

Bersambung babak kedua, pemain berusia 20 tahun ini terus menghukum kealpaan Laos untuk meledak gol kedua peribadiya.

Ini disebabkan usaha Hadi Fayyadh yang tidak dapat menanduk masuk bola yang dilambung oleh Azfar lalu Luqman tenang menyambut bola yang jatuh itu dengan melepaskan satu rembatan untuk meletakkan kedudukan selesa buat Malaysia.

Malaysia selesa untuk memungut 3 mata berharga ini dalam usaha untuk layak ke peringkat seterusnya.