Luqman Hakim & Syahir Bashah Bentuk Gandingan Berbisa
Dunia
FA Malaysia
Advertisements

Aksi bermutu yang ditampilkan dua pemain bawah 23 tahun negara, Luqman Hakim Shamsuddin dan Syahir Bashah jelas memberikan sinar baharu buat skuad B-23 kebangsaan dalam temasya Sukan SEA 2021, Hanoi.

Pemain KV Kortrjik, Luqman Hakim dan pemain Selangor FC, Syahir Bashah telah diberi kepercayaan oleh pengendali, Brad Maloney untuk turun dalam kesebelasan utama pasukan ketika aksi pertama Sukan SEA.

Perlawanan pembukaan saingan Kumpulan B menyaksikan Malaysia berjaya mengutip tiga mata berharga setelah menewaskan Thailand dengan keputusan 2-1.

Advertisements

Pemain harapan, Luqman dan Syahir masing-masing dilihat bekerja keras menghidupkan jentera serangan pasukan negara. Seawal minit ke-23 permainan, gandingan ini berjaya mencipta satu percubaan bagi menguji ketangkasan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Hantaran lintang Syahir Bashah telah dinatijahkan dengan satu rembatan menerusi Luqman Hakim. Bagaimanapun rembatan Luqman tersebut sedikit tersasar. Tersentak dengan jaringan pertama daripada pasukan Thailand, duo ini tidak berputus asa apabila sekali lagi berusaha menggegar jaring pasukan lawan.

Lorongan kemas Syahir telah disudahkan Luqman Hakim dengan satu rembatan namun malangnya percubaan Luqman pada minit ke-40 permainan itu tidak menatijahkan kepada jaringan.

Advertisements

Luqman dan Syahir turut menjadi watak penting dalam insiden kad merah pada minit ke-42 permainan. Through pass bijak daripada Luqman meletakkan Syahir berada dalam keadaan selesa untuk menjaringkan gol setelah melepasi kawalan pertahanan pasukan Thailand.

Jonathan Khemdee yang gagal mengawal kelibat Syahir, terpaksa menarik pemain Selangor itu sekaligus memaksa pengadil melayangkan kad merah buat tonggak tengah skuad Gajah Perang tersebut. 

Tidak cukup dengan itu, pada babak kedua permainan, gerakan Luqman dan Syahir telah membuatkan barisan pertahanan Thailand tak senang duduk. Kali ini peluang buat Syahir Basyah pula untuk meledak namun percubaan Syahir itu berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Thailand. 

Advertisements

Kerajinan, idea serta gerakan satu dua yang dicipta oleh Luqman dan Syahir telah menjadikan struktur serangan pasukan negara dalam keadaan yang amat baik. Walaupun gagal meledak dalam perlawanan semalam, mereka berjaya menjadikan perlawanan pertama skuad negara sebagai pentas awal merancang asakan kepada pihak lawan.

Khidmat dua pemain ini semestinya akan terus menjadi taruhan buat Brad Maloney bagi mengharungi cabaran Sukan SEA, Hanoi. Malaysia bakal bertemu Laos pada 11 Mei, Singapura 14 Mei dan menentang Kemboja bagi aksi terakhir saingan kumpulan pada 16 Mei.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram