Advertisements
Luqman Hakim Tunjuk Taring, Tiru Aksi ‘Mc Gregor’ Dalam Sesi Latihan
Eropah
MakanBola
Photo: Football Tribe

Kelibat penyerang muda negara, Luqman Hakim Samsudin ketika sesi latihan bersama kelabnya, KV kortrijk mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air di media sosial.

Penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu tampak sungguh gembira berada di Belgium tatkala mendapat perkhabaran bahawa beliau bakal menyertai kem latihan pusat bersama skuad bawah 20 tahun negara yang dijadualkan berlangsung di Dubai.

Pemain bertubuh kecil yang mesra disapa ‘Luqie’ itu jelas menunjukkan kesungguhannya dalam sesi latihan. Beliau dilihat sedang melakukan satu sepakan bebas ke arah gawang yang dikawal oleh rakan sepasukannya.

Hasilnya, rembatan deras pemain berusia 19 tahun ini tidak berjaya diselamatkan oleh penjaga gol tersebut. Luqman yang kelihatan gembira dengan hasil sepakan tersebut menuju ke arah jurukamera dengan tersenyum lebar.

Luqman yang menyertai kelab yang berpangkalan di Belgium sejak tahun lalu kelihatan sudah selesa dengan kehidupan beliau di sana. Malah, beliau sentiasa menunjukkan kesungguhan dan semangat dalam sesi latihan.

Bekas pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) ini meraikan jaringan tersebut dengan meluru ke arah jurukamera tersebut sambil menyebut perkataan ‘Chavelier’ dan terus tertawa. Beliau turut meniru gaya peninju terkenal dunia kelahiran Ireland, Conor Mc Gregor dengan aksi jalan dengan melebarkan tangan dan dadanya ke depan.

Gelak sakan Luqman akhirnya turut disambut oleh jurukamera tersebut namun Luqman dengan mesranya menyebut meminta maaf atas kelakukan beliau.

Semoga beliau terus konsisten di sana dan sentiasa positif untuk terus merebut tempat dalam kesebelasan utama.