Magro Sah Pengendali Sarawak United A

January 17, 2020

Juan Carlos Magro Oliva sah dilantik sebagai ketua jurulatih pertama Sarawak United A.

Beliau dijangka menandatangani kontrak dengan Sarawak United pada minggu ini, namun telah berada di Bumi Kenyalang dan melatih skuad utama Sarawak United A hampir sebulan.

Berusia 44 tahun pada 27 Mac depan, Magro yang berasal dari Valencia, Sepanyol, pernah menjadi jurulatih akademi kelab Valencia CF. Berpengalaman 16 tahun sebagai jurulatih peringkat umur, beliau pernah menjadi pengurus pasukan bawah 19 tahun KB Leiknir sebelum menjadi jurulatih Akademi Real Madrid di Guangzhou.

Memiliki lesen kejurulatihan profesional, Magro yang dipilih daripada kalangan lima calon lain kini dibantu oleh Safri Amit bagi memantapkan pasukan baharu ini yang akan beraksi dalam Liga Premier 2020.

Magro sudah sebulan di Sarawak bagi pemilihan pemain

Menurut sumber, Magro kini sedang memuktamadkan senarai pemainnya dan akan menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk tindakan selanjutnya.

“Pada minggu pertama dan kedua beliau memberi tumpuan kepada latihan kecergasan dan memantapkan teknikal. “Dan setelah mengenal pasti pemain yang dipilih, beliau akan menerapkan elemen taktikal,” kata sumber itu lagi.

Ketika ini, pasukan Sarawak United enggan mendedahkan butiran mengenai pasukan tersebut. Latihan bagaimanapun berlangsung seperti biasa, dan difahamkan kebanyakan pelatihnya merupakan barisan pemain daripada skuad Sarawak FA pada tahun lalu.

Beberapa pelatih luar dan import juga kelihatan, namun tidak diketahui status mereka sehingga kini.

Menjadi tanggungjawab Magro untuk membina pasukan yang kuat pada musim ini, bagi membolehkan Sarawak United A kembali ke pentas Liga Super.

Follow Telegram @makanbola untuk dapatkan berita bola sepak Malaysia terus di telefon bimbit anda.
Follow Telegram @makanbola untuk dapatkan berita bola sepak Malaysia terus di telefon bimbit anda.
133 views

By Naim Rahim
@naimbola90

Terbaru