Kei Oshiro: Lebih Baik Dari J-League
MakanBola
Johor Southern Tigers

Bek tengah Negeri Sembilan FC, Kei Oshiro menyifatkan kemudahan yang dimiliki Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dilihat lebih baik daripada stadium-stadium kelab J-League.

Pandangan itu dikongsikan bek tengah Jepun berusia 26 tahun itu menerusi satu video diari yang dikongsikan di Instagram baru-baru ini.

“Stadium ini memang hebat, lebih baik daripada (stadium kelab-kelab) J-League. Padang pun nampak cantik,” katanya. Video sama turut menunjukkan kemudahan yang dimiliki SSI termasuk kolam pemulihan, bilik persalinan dan padang.

Oshiro berpandangan sedemikian berdasarkan pengalamannya beraksi dalam arena bola sepak Jepun. Sebelum menyertai Negeri Sembilan, beliau pernah beraksi untuk Urawa Reds, Gainare Tottori, Yokohama SCC dan Ehime FC.

Ini jelas menunjukkan Oshiro sudah masak dengan kemudahan-kemudahan yang dimiliki kelab-kelab Jepun termasuk stadium dan pusat latihan.

Pandangan sama turut dizahirkan sebuah halaman bola sepak bernama Bola Brigade. Bola Brigade menyifatkan jika Oshiro merasa kagum dengan SSI, ini menunjukkan stadium itu berada di tahap tersendiri.

“Kei Oshiro, pemain pertahanan Negeri Sembilan, dalam satu vlog ketika kunjungan Negeri Sembilan bertemu JDT tempoh hari, meluahkan kekagumannya terhadap fasiliti serta Stadium Sultan Ibrahim (SSI).

“Malah, pemain dari Jepun itu menyifatkan kemudahan yang dimiliki JDT di SSI lebih hebat berbanding apa yang pernah dilihatnya dalam saingan J-League.

“Kalau pemain dari Jepun sendiri yang cakap, memang SSI berada di tahap yang tersendiri,” katanya di Facebook.