Advertisement
Maguire: Kesilapan Itu Sebahagian Daripada Pertarungan
Dunia
MakanBola
Football 365

Dua kesilapan yang dilakukan oleh Harry Maguire pada aksi Liga Negara UEFA menentang Jerman jelas sekali menaikkan kemarahan para penyokong England.

Pada aksi tersebut, England terpaksa akur untuk berkongsi mata selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 dan kekal di tangga tercorot dengan hanya memungut tiga mata dalam saingan Liga Negara-Negara UEFA (Liga A – Kumpulan 3).

Susulan daripada kesilapan yang dilakukan Maguire, pemain pertahanan Manchester United itu mengambil kesempatan memohon maaf kepada semua penyokong England menerusi satu muat naik di laman Instagram milik beliau.

“Kesilapan adalah sebahagian daripada pertarungan, saya mohon maaf. Perlawanan yang hebat dan semangat telah membawa kami kembali ke dalam permainan oleh para pemain,” luah Maguire.

Pemain pertahanan termahal dunia itu membayangkan bahawa fokus beliau kini dialihkan kepada Piala Dunia 2022 yang akan diadakan di Qatar pada November depan.

“Kita perlu lihat dari sudut yang positif. Keadaan yang sukar seperti ini akan membuatkan kami jadi lebih kuat selepas ini,” tambahnya lagi.

Di Piala Dunia 2022 nanti, England dijangkakan tidak menghadapi laluan sukar untuk mara ke pusingan kalah mati apabila berada di dalam kumpulan B bersama-sama tiga pasukan lain iaitu Iran, Amerika Syarikat dan Wales.