Advertisement
Malaysia Atur Aksi Persahabatan Berdepan New Zealand
UltraSukan
UltraSukan
FIH

Malaysia dijadualkan menentang New Zealand dalam satu aksi persahabatan sebagai persiapan menjelang kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2024.

Perkara ini disahkan oleh ketua jurulatih hoki kebangsaan, Jarjit Singh ketika ditemui di sesi latihan pertama skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata, satu perlawanan persahabatan menentang New Zealand telah diatur pada awal bulan Mei di Perak bagi menguji skuad kebangsaan sebelum turun beraksi dalam kejohanan di Ipoh tersebut.

“Kita sudah aturkan perlawanan persahabatan pada 1 Mei ini di Ipoh (dengan New Zealand). Sebab New Zealand akan tiba pada 28 April ini. Jadi, kita akan menentang mereka pada 1 Mei ini,” katanya kepada pihak media.

Tambah beliau lagi, New Zealand kali ini akan turun dengan pemain terbaik mereka memandangkan pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2018 itu sedang dalam persediaan untuk bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Sebab mereka dalam persediaan untuk Sukan Olimpik, jadi semua pemain terbaik mereka akan dibawa. Mereka juga akan bermain menentang Kanada. Kanada juga akan datang menyertai kejohanan itu,” ujar beliau yang dilantik pada awal Mac yang lalu.

Selain New Zealand, Malaysia juga sedang berusaha mendapatkan sebuah lagi pasukan berkemungkinan besar adalah pasukan di ranking ke-15 dunia iaitu Pakistan untuk bermain dalam satu perlawanan ujian.

“Kita cuba dengan Pakistan sebab jadual hoki sekarang terlampau padat. Jadual Piala Sultan Azlan Shah kita tahu sedikit sebab Kanada dan Pakistan akan ada. Dan mereka juga akan menentang kita dalam kumpulan sama Trofi Juara-Juara.”

Ujian pertama Sarjit Singh bersama skuad kebangsaan akan bermula dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah 2024 yang akan membuka tirai pada 4 Mei 2024 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak.

Selepas itu, Speedy Tigers akan terbang ke Griezno, Poland untuk aksi Piala Negara-negara bermula 31 Mei sehingga 9 Jun dan Piala Juara-Juara Asia di Kota Hulunbuir, Mongolia mulai 8 September.