Malaysia bakal bertemu Indonesia sambil Presiden FIFA, Gianni Infantino meramalkan kehangatan di FIFA ASEAN Cup 2026.
Pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe baru sahaja menamatkan kempen ASEAN Hyundai Cup 2026 pada pentas separuh akhir, di sebalii isu kecederaan yang melanda pasukan.
Harimau Malaya kini menghadapi satu lagi tugasan besar apabila bakal beraksi di Divisyen 1, FIFA ASEAN Cup 2026 setelah diundi bersama tuan rumah, Indonesia, Singapura dan juga Bangladesh.
Malaysia yang menduduki tangga ke-136 dunia akan membuka tirai kempen bertemu Bangladesh (181) pada 25 September di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, jam 5 petang (waktu Malaysia). Pertemuan itu menjadi ujian pertama Harimau Malaya dalam kejohanan yang berlangsung dalam jendela antarabangsa FIFA.
Tiga hari kemudian, cabaran lebih besar menanti Harimau Malaya apabila berdepan tuan rumah Indonesia (118) di venue sama. Perlawanan pada 28 September, jam 8.30 malam itu selepas kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu kira-kira 5 tahun lepas (2021).
Kempen peringkat kumpulan Malaysia kemudiannya ditutup dengan pertemuan menentang Singapura pada 1 Oktober 2026 di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung, dengan sepak mula jam 8.30 malam dengan misi Malaysia untuk menempah tiket ke pentas akhir.
Format kejohanan menyaksikan dua kumpulan bagi saingan Divisyen 1 menggunakan format liga satu pusingan, dengan juara setiap kumpulan mara ke final manakala naib juara bertemu dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 5 Oktober.
Presiden FIFA, Gianni Infantino meramalkan aksi sengit antara pasukan bertanding di FIFA ASEAN CUP 2026 ini, sekali gus menyaksikan perlawanan berkualiti tinggi dapat disajikan pada pentas bola sepak Asia Tenggara.
“Piala ASEAN FIFA diperkenalkan bagi menyediakan peluang persaingan yang bermakna kepada pasukan kebangsaan dalam Kalendar Perlawanan Antarabangsa, sekali gus memberi peluang kepada para pemain untuk mewakili negara masing-masing dalam persaingan sengit melibatkan seteru serantau.
“Kejohanan ini akan memperkukuh hubungan bola sepak antara negara-negara Asia Tenggara, selain memberi detik-detik yang tidak dapat dilupakan serta menyajikan aksi antarabangsa berintensiti tinggi buat para peminat di seluruh rantau ini,” ujarnya dalam kenyataan FIFA.