Advertisement
Malaysia Ke Final Piala Dunia Sepak Takraw, Tundukkan Myanmar
UltraSukan
UltraSukan
Persatuan Sepak Takraw Malaysia

Malaysia mengesahkan status mereka sebagai pasukan pilihan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila mara ke final acara double hari ini.

Malaysia mara ke final selepas mengenepikan cabaran negara serantau, Myanmar di pentas separuh akhir.

Kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir. Myanmar menewaskan India dengan Malaysia mengatasi cabaran Korea Selatan.

Kem negara terus memberi kepercayaan kepada Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin sebagai regu double. Sementara Myanmar pula mempertaruhkan Zin Min Oo dan Wunna Zaw Shein.

Set pertama menyaksikan regu Myanmar kerap melakukan kesilapan sehingga membenarkan Malaysia mendahului pada kedudukan 8-4.

Situasi ini menyebabkan jurulatih Myanmar, Aung Cho Myint memasukkan Yan Paing Oo untuk membantu mereka mengejar regu negara.

Pertukaran yang dibuat langsung tidak menjejaskan keampuhan yang ditunjukkan Aidil dan Noraizat. Regu negara kekal konsisten sebelum mengungguli set pertama dengan keputusan 15-10.

Set kedua menyaksikan kedua-dua regu saling bersaing mendapatkan mata. Pada satu ketika, regu Malaysia dan Myanmar terikat pada kedudukan 14-14.

Pada akhirnya, semangat juang tinggi yang dipamerkan Aidil dan Noraizat memastikan Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 17-16.

Regu negara bakal menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara Indonesia dan Thailand sebagai lawan di pentas final acara double.