Skuad sepak takraw Malaysia mara ke separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 untuk acara double selepas mengalahkan Korea Selatan hari ini.
Malaysia dan Korea Selatan berentap di suku akhir selepas masing-masing berjaya melepasi cabaran di peringkat kumpulan. Malaysia melepasi cabaran Kumpulan A dengan menewaskan Jepun dan Brunei.
Manakala Korea Selatan mengiringi Thailand layak dari Kumpulan D. Kumpulan itu turut mengandungi negara jiran, Singapura.
Regu negara terdiri daripada Aidil Aiman dan Noraizat Nordin bersaing sengit dengan regu Korea Selatan, Kim Young-cheol dan Shin Hee-seop dalam mendapatkan mata.
Pada satu ketika, kedua-dua regu terikat pada kedudukan 7-7. Aidil dan Noraizat kemudiannya meningkatkan kelebihan mata sebelum meraih kemenangan 15-11.
Young-cheol dan Hee-seop berusaha untuk bangkit pada set kedua. Pada awalnya, kedua-dua regu terikat pada kedudukan 14-14.
Pada akhirnya, regu Korea Selatan berjaya meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 17-15. Keadaan ini menyaksikan perlawanan diheret ke set penentuan untuk menentukan pemenang.
Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Hee-seop dan Young-cheol membuka ruang buat Aidil dan Noraizat mendahului pada kedudukan 8-2. Melihat jarak mata yang agak jauh, Korea Selatan memasukkan Park Cheol-hee untuk memperkemaskan rentak regu mereka.
Nafas baru yang dicari regu Korea Selatan untuk mendapatkan kembali rentak tidak berhasil. Dan itu sudah cukup buat regu negara meraih kemenangan dengan keputusan 15-8.
Kecemerlangan kem negara dalam acara double dijangka memberi inspirasi untuk barisan pemain negara yang beraksi untuk suku akhir acara regu pada jam 2.00 petang ini.