Regu Malaysia meneruskan kecemerlangan regu acara double dengan menewaskan Thailand di pentas final Piala Dunia Sepak Takraw 2024 acara regu.
Thailand dilihat pasukan pilihan kerana bergelar juara acara tersebut dalam tiga edisi terakhir Piala Dunia Sepak Takraw termasuk edisi 2022.
Kedua-dua pasukan mara ke final selepas masing-masing menewaskan Myanmar dan Filipina di peringkat separuh akhir.
Malaysia terus memberi kepercayaan kepada Syahir Rosdi sebagai tekong, Farhan Adam sebagai feeder dan Azlan Alias sebagai killer. Sementara Thailand pula mempertaruhkan Sittipong Khamchan, Poramet Siriswat dan Varayut Jantarasena sebagai regu pilihan mereka.
Keberkesanan servis yang dilakukan Syahir memberi kelebihan kepada regu negara mendahului pada kedudukan 10-4.
Kelebihan itu terus dipertahankan Malaysia sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 15-8.
Set kedua menyaksikan Thailand berusaha untuk bangkit dengan harapan dapat mengheret perlawanan ke set penentuan.
Menyedari servis Syahir tiga kali tersangkut di jaring, jurulatih negara, Ahmad Jais Baharom memasukkan Haziq Nizam sebagai tekong pengganti.
Kemasukan Haziq ditambah kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Sittipong memastikan Malaysia muncul juara dunia acara regu buat kali pertama. Malaysia menang dengan keputusan 15-12.
Kejayaan bergelar juara acara double dan regu bakal memberi kelebihan kepada kem negara bila bersaing dalam acara berpasukan nanti.