Aksi cemerlang Malaysia memastikan tempat ke perlawanan akhir Piala Dunia Sepak Takraw dalam acara regu setelah menumbangkan Myanmar pada Selasa.
Masih segar dengan kejayaan membenam Korea Selatan di peringkat suku akhir, skuad negara hanya selangkah menuju ke final apabila dijadualkan menentang Myanmar pada sebelah malam.
Regu negara menurunkan barisan terbaik dengan Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam memulakan aksi dengan garang apabila jauh meninggalkan lawan dengan perbezaan enam mata di awal permainan.
Di pertengahan aksi, Malaysia terus memecut jauh dan mendahului 11-2 hasil kesilapan regu Myanmar yang kerap melakukan servis yang tidak melepasi jaring sebelum regu negara menutup cerita di set pertama dengan kemenangan 15-3.
Bersambung di set kedua, regu Malaysia bermula agak perlahan namun berusaha bangkit untuk mengejar lawan dari ketinggalan 0-2 dan kembali memimpin permainan 5-2 hasil beberapa libasan berbisa killer negara, Azlan Alias.
Myanmar cuba memberi saingan dan mula menyasarkan untuk menyerang Syahir Rosdi untuk mengutip mata, akan tetapi ketenangan tekong negara itu mengawal keadaan berjaya mematahkan serangan lawan.
Suasana di dalam stadium menjadi riuh di penghujung permainan tatkala Malaysia semakin hampir mengesahkan kemaraan dan libasan terakhir memastikan Myanmar kempunan untuk lolos ke final.
Perlawanan di Stadium Titiwangsa berakhir dengan kemenangan 2-0 (15-3, 15-11) buat Malaysia ke atas Myanmar.
Kemenangan di hadapan ratusan penyokong negara ini membawa Malaysia mara ke pentas akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dan akan menempah pertemuan menentang jaguh dunia iaitu Thailand pada Rabu.
Skuad regu negara berjaya mengikut jejak langkah pasukan beregu yang turut meloloskan diri ke final setelah mengecewakan pasangan Myanmar dalam aksi separuh akhir dalam acara double.