Malaysia kini sah menjadi kediaman baharu buat jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley.
Nama jurulatih Australia itu cukup sinonim dengan sukan berbasikal trek Malaysia. Ini kerana beliau membantu menggilap bakat jaguh berbasikal trek negara ke peringkat antarabangsa.
Antara pelumba trek yang diasuh Beasley ialah Josiah Ng, Datuk Azizulhasni Awang, Rizal Tisin, Fatehah Mustafa, Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Kini, tugas Beasley bakal lebih mudah kerana beliau telah menerima status sebagai penduduk tetap kira-kira tiga minggu yang lalu.
“Saya dapat panggilan telefon, antara hari yang paling gembira, memaklumkan saya mendapat taraf penduduk tetap. Saya rasa diterima dan dihargai, dan saya memang rasa saya ‘orang putih’ Malaysia… saya cakap pada semua saya berasal dari Genting Highlands,” katanya secara bergurau.
Beasley mengakui merasa cinta kepada Malaysia dan berharap akan terus menyumbang kepada arena sukan berbasikal trek negara. Hal ini mahu dicapai beliau dengan memperbaiki penguasaan Bahasa Melayu.
“Tetapi saya bangga, saya sayangkan Malaysia. Isteri saya (Vicky Beasley) gembira di sini (Malaysia). Saya sedang cuba belajar Bahasa Malaysia. Saya boleh ikut perbualan anak buah (atlet di bawah kendaliannya) tetapi sukar untuk saya tangkap semuanya, tapi saya komited untuk perbaiki,” tambahnya.
Beasley dijangka semakin sibuk apabila beliau bakal menggalas peranan sebagai pengarah teknikal skuad kebangsaan.