Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Malaysia memiliki hasrat menjadi tuan rumah Piala Dunia pada masa hadapan.
Hasrat itu dizahirkan beliau selepas menonton perlawanan akhir Piala Dunia antara Argentina dan Sepanyol menerusi tayangan skrin gergasi dan program Semarak Subuh di Bangi Square 2, Bangi pada Isnin.
Zahid bukan saja berharap melihat Malaysia menjadi tuan rumah kejohanan. Malah, beliau juga berharap Malaysia selaku wakil Asia Tenggara dalam kejohanan tersebut.
“Insya-Allah, satu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia tuan rumah Piala Dunia.
“Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia akan menjadi satu daripada pasukan untuk mewakili Asia Tenggara,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Setakat ini, belum ada wakil Asia Tenggara yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Dunia. Meskipun begitu, cadangan 64 pasukan baharu untuk edisi 2030 dilihat membuka ruang buat pasukan lain termasuk Harimau Malaya untuk layak.
Ratusan peminat bola sepak berkumpul di Bangi Square 2, Bangi bagi memeriahkan perlawanan akhir kejohanan paling berprestij dunia membabitkan juara bertahan Argentina dan Sepanyol.
Antara yang hadir ke program berkenaan ialah legenda bola sepak negara Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd Farizal Marlias dan Zaquan Adha Abdul Radzak.