Advertisement
Malaysia Tahu Ancaman Sebenar Indonesia
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Penyerang muda Kedah Darul Aman FC, Aiman Afif Md Afizul berharap rakan-rakan sepasukannya dalam skuad B-23 Malaysia tidak memandang rendah cabaran Indonesia dalam saingan Piala AFF B-23 2023.

Untuk aksi Piala AFF B-23 ini, Timnas Indonesia tempang tanpa kelibat beberapa pemain termasuk orang besi mereka, Rizky Ridho. Ini berlaku sama ada akibat kecederaan atau tidak mendapat perlepasan dari kelab-kelab mereka.

Biarpun situasi ini memberi kelebihan kepada Malaysia, Aiman melihat semua pemain Tim Garuda sebagai ancaman. Ini kerana di bawah bimbingan jurulatih Shin Tae-yong, mereka boleh saja menggugat peluang negara mara ke separuh akhir.

“Saya rasa sama saja. Kita tak boleh pandang mudah walaupun depa (mereka) tidak turunkan pemain regular (biasa) depa (mereka). So (Jadi), saya rasa kita kena berikan yang terbaik. Kita kena fight (lawan) juga,” katanya kepada MakanBola hari ini.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan B akan berlepas ke Thailand pada Rabu ini. Selepas berdepan Indonesia pada 18 Ogos, mereka akan menentang Timor Leste dalam aksi terakhir kumpulan pada 22 Ogos depan.

Tiga pasukan juara kumpulan (A, B dan C) dan satu pasukan naib juara kumpulan terbaik akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos. Ini akan disusuli dengan penentuan tempat ketiga dan aksi final pada 26 Ogos ini.