Advertisement
Shin Tae-yong Terpaksa Sisih Pertahanan Kebal Ke Piala AFF
Asia Tenggara
MakanBola
PSSI

Jurulatih skuad B-23 Indonesia, Shin Tae-yong terpaksa melupakan khidmat bek tengah Persija Jakarta, Rizky Ridho untuk aksi Piala AFF B-23 2023.

Ini selepas pengurusan Persija enggan melepaskan khidmat bek tengah berusia 21 tahun itu atas alasan bagi memenuhi komitmen Liga 1 Indonesia dan Piala AFF B-23 2023 tidak tersenarai dalam kalendar FIFA.

Selain Rizky, Tae-yong juga terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Dzaky Asraf. Ini kerana kelabnya, PSM Makassar memerlukannya bukan saja untuk aksi liga tetapi juga untuk aksi play-off Piala AFC 2023-2024.

Keadaan ini mendorong jurulatih Korea Selatan itu memanggil pemain tengah Persis Solo, Mohammad Kanu dan pemain pertahanan PSIS Semarang, Haykal Alhafiz sebagai pengganti.

Tindakan kedua-dua kelab ini mencetuskan kemarahan Ketua Badan Tim Nasional (BTN) PSSI, Sumardji. Ini kerana ini bukan kali pertama PSM Makassar dan Persija Jakarta enggan melepaskan pemain untuk tugasan Timnas Indonesia.

“Saya sangat kecewa dengan tidak hadirnya dua pemain dengan alasan berbagai macam. Pertama dari Persija, yang kedua dari PSM.

“Untuk kepentingan nasional, hanya dipanggil untuk memperkuat Timnas Indonesia U-23, itu saja sama pelatihnya ditahan, tidak dilepas,” katanya seperti dilaporkan Bola.com.

Skuad B-23 Indonesia sudah bertolak ke Thailand hari ini agar dapat membuat persiapan awal menjelang aksi pertama Kumpulan B pada 18 Ogos ini. Aksi pertama Kumpulan B bakal menyaksikan pertembungan mereka dengan musuh tradisi, Malaysia.