Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Thailand, Mano Polking tetap yakin Harimau Malaya akan tetap menjadi pencabar kejuaraan sungguhpun hadir tanpa ramai tonggak utama.
Pengendali kelahiran Brazil itu melihat impak yang dibawa oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon amat baik yang menyaksikan prestasi semasa Malaysia meningkat.
Mengulas lanjut, beliau melihat Harimau Malaya mempunyai potensi untuk terus menyinar dalam kejohanan Piala Mitshubishi Electric 2022 kali ini.
Malah, Polking yakin sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ekor Harimau Malaya bakal memberi kelebihan kepada Malaysia beraksi di gelanggang sendiri.
“Malaysia sentiasa menjadi salah satu pasukan yang sangat berbahaya kerana kami sudah bertemu dengan mereka di Piala Raja Thailand”
Sungguhpun Malaysia kali ini dibarisi oleh muka baharu, beliau tetap percaya Malaysia akan tampil cemerlang.
“Walaupun Malaysia turun tanpa pemain utama tetapi mereka sudah mengharungi aksi persahabatan yang baik dan mereka akan tetap berbahaya,” jelasnya kepada Harimau Malaya.
Thailand memulakan langkah dengan amat baik apabila membelasah Brunei, 5-0 di Stadium Cheras manakala Malaysia akan turun berdepan Myanmar petang ini.