Wakil tunggal Liga A1 Semi Pro, Malaysian University tetap dengan pendirian untuk menggunakan khidmat pemain tempatan secara keseluruhan meskipun berdepan lawan-lawan yang lebih ampuh.
Perkara ini ditegaskan oleh ketua jurulatih Malaysian University, Ridzuan Abu Shah yang menganggap beraksi berdepan JDT dalam saingan suku akhir ini perlu diambil sebagai pengalaman berguna buat masa depan pasukan.
”Ini adalah pengalaman yang perlu mereka ambil setiap inci atau setiap minit waktu bermain dengan pasukan yang lebih baik daripada kita,” ujar Ridzuan Abu Shah kepada Astro Arena selepas perlawanan.
Menurut beliau lagi, skuad Harimau Selatan sememangnya memiliki barisan import yang berkualiti tinggi namun itu tidak mengubah pendirian pasukan untuk kekal menaruh kudrat tenaga lokal dalam kesebelasan utama bagi tujuan pembangunan.
”Kelab nombor satu di Malaysia iaitu JDT yang kita tahu mempunyai import-import yang berkaliber dan kami tetap mempertahankan keputusan (menampilkan) pemain lokal untuk pembangunan di Kementerian Pengajian Tinggi dan universiti.”
Bagi beliau sebagai jurulatih, apa yang penting ialah pelan jangka panjangnya untuk terus mengembangkan bakat-bakat tempatan yang berada di Institut Pengajian Tinggi (IPT) tanpa memikirkan kehendak orang lain.
”Kami tidak kisah apa pun pandangan orang, yang kami tahu jalan kami adalah untuk membangunkan pemain yang memilih jalan untuk belajar dan bermain bola,” tambah beliau lagi.
”Sebagai jurulatih, saya menjalankan tugas untuk kita bangunkan seberapa ramai pemain-pemain atau mutiara-mutiara di dalam universiti untuk kita ketengahkan.”
Dalam aksi menentang JDT pada Jumaat itu, Malaysian University berdepan tugas sukar untuk mengejar agregat 5-0 pada pertemuan pertama sekaligus menyaksikan wakil Liga A1 Semi Pro itu kecundang 8-0 dalam aksi kedua.
Malaysian University akan kembali menumpukan perhatian kepada saingan Liga A1 Semi Pro yang bakal bersambung dengan Machan FC menjadi lawan seterusnya pada 9 Julai ini di Stadium UKM, Bangi.