Manchester United & Liverpool Tetap Mahu European Super League Diteruskan

liverpool vs man utd 2023 liverpool fc Manchester United & Liverpool Tetap Mahu European Super League Diteruskan
Liverpool FC
Azim Noor @mohdazim45
4:37pm 16/03/2023

Beberapa musim lepas, penubuhan European Super League (ESL) mendapat tentangan ramai penyokong sehingga ia dibatalkan. Dan semalam, Presiden Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Aleksander Ceferin mendedahkan dua penggerak utamanya ialah Manchester United dan Liverpool.

Cadangan penubuhan liga baru itu membabitkan 12 pasukan utama Eropah pada 2021 dilihat bakal mengancam kelangsungan Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Selain United dan Liverpool, ia turut disertai oleh Real Madrid, Barcelona, A.C Milan, Juventus, Chelsea, Manchester City, Arsenal, Tottenham Hotspur, Atletico Madrid dan Inter Milan.

Bagaimanapun, selepas ditentang keras penyokong termasuk penyokong United dan Liverpool, majoriti kelab ESL kemudiannya menarik diri. Hanya Juventus, Real Madrid dan Barcelona yang masih memperjuangkan idea ESL.

Begitupun, menurut Ceferin, idea ESL ini disokong kuat oleh Red Devils dan Reds berbanding empat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) lain.

“Setakat yang saya tahu, malangnya pemilik kelab anda (Manchester United) dan Liverpool terlibat sama. Saya fikir dua kelab England ini terlibat sejak dari awal lagi.

“Yang paling akhir sertai ialah Chelsea dan Manchester City. Saya tak tahu tentang Tottenham (Hotspur) dan Arsenal,” katanya dalam temubual eksklusif bersama bekas pemain Manchester United, Gary Neville untuk program The Overlap.

Ceferin turut mendedahkan sebahagian kelab EPL ini sebenarnya teragak-agak untuk menyertai ESL. Tetapi mereka terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu ketinggalan meraih manfaat liga baru itu.

“Bila saya tiba di Switzerland, saya terima panggilan telefon daripada salah satu daripada kelab-kelab Inggeris menyatakan mereka perlu menyertai projek tersebut. Mereka tak suka tetapi mereka juga tidak mahu ketinggalan.

“Dua kelab di England teragak-agak tentang hal ini, mereka kata mereka kekal sebagai kawan dengan kami, kawan kami dari dalam.

“Kedua-dua Chelsea dan Manchester City teragak-agak dari awal dan salah satu daripada mereka yang menghubungi saya,” tambahnya.

Ceferin juga turut mendedahkan pertelagahan besar antara dirinya dengan seorang figura kelab EPL yang tidak dinamakan berkenaan usaha mewujudkan ESL.

“Saya terima panggilan telefon daripada satu daripada kelab-kelab Inggeris (yang terlibat), saya takkan dedahkan siapa. Saya hilang sabar dan berkata, ‘Kamu boleh pergi berambus. Mulai esok, kamu musuh saya. Saya tidak mahu bercakap dengan kamu lagi.’ Ianya sukar,” ujarnya.

Walaupun identiti figura tersebut tidak dinamakan, ramai berspekulasi ia berkemungkinan merujuk kepada bekas naib presiden eksekutif Manchester United, Ed Woodward. Akibat kegagalan ESL, Woodward kemudiannya mengumumkan perletakan jawatan dan meninggalkan kelab pada hujung tahun tersebut.