Perancang tengah Terengganu, Marin Pilj dilaporkan bakal meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.
Khidmat Marin Pilj disambar oleh Terengganu pada Mac lalu bagi memperkuat jentera tengah selain mengisi tempat yang ditinggalkan oleh bekas bintang pasukan iaitu Habib Haroon.
Walau bagaimanapun, ketiadaan Pilj dalam beberapa aksi sebelum ini menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat Sang Penyu mengenai status bekas pemain NK Varazdin itu.
Menurut laman Sofascore, kali terakhir Pilj beraksi bersama Terengganu adalah pada 28 September lalu ketika bertemu Selangor di Gong Badak yang menyaksikan kekalahan 0-1 buat tuan rumah.
Menerusi satu hantaran oleh wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi seakan menjawab mengenai ketiadaan Pilj apabila pemain tengah tersebut bakal meninggalkan Terengganu tak lama lagi.
”Difahamkan tonggak import tengah Terengganu kelahiran Croatia, Marin Pilj sudah ucap selamat tinggal kepada Sang Penyu selepas capai persetujuan bersama dengan pihak kelab,” lapor Fadhirul di laman X.
Sepanjang menyarung jersi Terengganu, Pilj telah melakukan 16 penampilan selain meledak 2 gol dan 1 bantuan jaringan dalam kesemua kejohanan musim ini.
Ini sudah tentu bakal memberi tamparan hebat buat pasukan bimbingan Badrul Afzan menjelang aksi berdepan Melaka FC di saingan Piala Malaysia pada Sabtu di Stadium Hang Jebat.
Andai Pilj meninggalkan pasukan, pemain berusia 28 tahun itu bakal mengikuti jejak Matthew Steevoorden yang turut mengucapkan selamat tinggal buat Terengganu Oktober lalu.