Wakil Liga A1 Semi Pro, Melaka FC mengumumkan ketibaan dua pemain import baharu dari Perancis dan Guinea untuk menghadapi saingan Piala Malaysia berdepan Terengganu.
Menerusi satu hantaran di media sosial Melaka FC, kedua-dua pemain tersebut iaitu Rodrigue Nanitelamio dan Oumar Bangoura diperkenalkan secara rasmi selaku tonggak baharu pasukan.
“Melaka FC mengumumkan pemain baharu, Rodrigue Nanitelamio. Pemain berusia 28 tahun yang berasal dari Perancis ini akan bermain di posisi pertahanan tengah,” umum pihak kelab.
“Oumar Bangoura berusia 20 tahun dari Guinea diumumkan sebagai pemain baharu Melaka FC. Oumar adalah penyerang tengah bagi Melaka FC musim ini,” umum pihak kelab dalam satu lagi hantaran.
Menurut pengendali Melaka, K. Devan, kehadiran dua pemain import baharu ini diharapkan mampu meningkatkan kualiti pasukan dengan prestasi cemerlang bersama pemain lain.
”Dengan kemasukan 2 pemain ini (Rodrigue Nanitelamio dan Oumar Bangoura), sudah tentu akan memberi penambah dari segi kualiti pasukan keseluruhannya,” kata K. Devan kepada MFL.
“Saya menagih prestasi yang baik dari kedua pemain ini serta keseluruhan skuad (Melaka FC),” jelas bekas jurulatih Negeri Sembilan dan Kelantan itu lagi.
Melaka diundi bertemu jaguh Pantai Timur, Terengganu pada perlawanan pusingan 16 Piala Malaysia dengan aksi pertama dijadualkan berlangsung pada Sabtu di Stadium Hang Jebat.
Sementara bagi perlawanan timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pula bakal diadakan pada Jumaat, 29 November hadapan.