Vietnam dilanda masalah kecederaan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Malaysia pada Mac ini.
TheThao247 melaporkan jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik terpaksa melupakan khidmat empat pemain untuk panggilan kem skuad negara itu pada bulan hadapan.
Empat pemain tersebut ialah Doan Van Hau, Nguyen Thai Son, Nguyen Hieu Minh dan Nguyen Van Truong.
Thai Son, Hieu Minh dan Van Truong masing-masing mengalami kecederaan serius dan perlu berehat untuk tempoh masa yang lama.
Thai Son dan Van Truong disahkan mengalami kecederaan ACL. Hieu Minh pula cedera akibat terjahan keras pemain China semasa aksi separuh akhir Piala Asia B-23 baru-baru ini.
Van Hau pula mengalami kecederaan ketika aksi V. League 1 antara Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) dan Ninh Binh baru-baru ini.
Bekas bek kiri Hanoi FC itu terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan selepas tidak dapat meneruskan permainan.
Ramai penyokong Vietnam bimbang Van Hau berpotensi sekali lagi berdepan masalah kecederaan serius. Sebelum ini, beliau terpaksa berehat selama 25 bulan akibat masalah sama.
Selain masalah kecederaan, dua lagi pemain Pahlawan Bintang Emas juga berdepan penggantungan perlawanan iaitu Nguyen Dinh Bac dan Pham Ly Duc.
Ly Duc dan Dinh Bac perlu menjalani penggantungan perlawanan selepas mengutip kad merah dalam saingan Piala Asia B-23 2026.
Ly Duc dibuang padang ketika aksi separuh akhir menentang China. Dinh Bac pula bernasib malang apabila dilayangkan kad merah dalam aksi penentuan tempat ketiga menentang Korea Selatan.
Penggantungan perlawanan yang dihadapi dua pemain ini dibawa ke peringkat skuad senior mengikut peraturan AFC.
Justeru, Sang-sik perlu mencorak barisan pemain yang bersesuaian untuk membentuk pasukan mantap sebelum Vietnam menghadapi Harimau Malaya pada 31 Mac ini.