KL City FC kini menghela nafas lega kerana masalah kecederaan yang dihadapi pasukan itu semakin reda.
Perkara ini dikongsikan sendiri pengendali The City Boys, Miroslav Kuljanac kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Antara tonggak KL City yang sudah kembali menjalani latihan ialah bekas bek tengah Sri Pahang FC, Nick Swirad dan Anwar Ibrahim.
“Kita buat persiapan (perlawanan) seperti biasa. Selepas (meraih kemenangan ke atas) Terengganu, akhirnya Nick Swirad dan Anwar Ibrahim menyertai semula pasukan selepas enam minggu,” katanya.
“Mereka baru saja kembali menjalani latihan. Saya harap mereka dapat menyertai kita secepat mungkin.”
Berita ini dijangka menyuntik semangat The City Boys untuk mengharungi baki kempen Liga Super musim 2024/25.
Selepas menewaskan Terengganu FC 2-1 di Kuala Terengganu baru-baru ini, KL City kini di tangga ketujuh dengan 21 mata. Mereka kini hanya dipisahkan enam mata dengan Peteh yang menduduki tangga keempat.
Seandainya KL City berjaya menewaskan Sabah FC di Stadium Likas pada 21 Februari, ini memberi momentum kepada pasukan itu untuk mengintai slot kelompok lima pasukan terbaik liga.