Isu tikus menjadi isu terbaru yang membelenggu stadium keramat Manchester United, Old Trafford.
Meskipun pengurusan The Red Devils berusaha mengatasi masalah terbabit, masalah tikus seakan tiada noktah.
Terbaru, akhbar The Sun melaporkan kelibat seekor tikus dikesan berada di atas padang sebelum aksi United dan Ipswich Town.
Staf kelab kemudiannya berjaya menangkap tikus tersebut sebelum mengalihkannya di tempat lain.
Ramai penyokong percaya isu ini timbul disebabkan kedudukan Old Trafford yang terletak di antara landasan keretapi dan terusan.
Masalah tikus di Old Trafford sangat teruk sehinggakan stadium itu hanya mendapat penilaian dua bintang dari segi penarafan kebersihan.
Ini selepas tahi tikus dilaporkan ditemui di gerai-gerai makanan dan suite korporat ketika pemeriksaan kesihatan dibuat.
Isu ini dilihat antara perkara yang dipertimbang pasukan petugas khas yang dibentuk United untuk menilai sama ada mereka perlu membina stadium baru atau membangunkan semula Old Trafford.
Pasukan petugas khas itu terdiri daripada figura-figura awam terkenal seperti legenda United, Gary Neville, bekas Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Sebastian Coe dan Datuk Bandar Manchester, Andy Burnham.
Kerajaan Britain menyokong usaha United sekiranya mereka ingin membina stadium baru. Ini kerana stadium baru bakal membawa kepada pembukaan kawasan perumahan, komersial dan ruang awam baru.