Manchester United dipaksa berhempas-pulas sebelum untuk menewaskan Ipswich Town dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada awal pagi Khamis.
Setelah terikat seri bertemu Everton minggu lalu, Manchester United kembali ke laman sendiri dengan misi meraih 3 mata apabila menentang kelab di zon penyingkiran, Ipswich Town.
Manchester United membuat 2 perubahan apabila membawa masuk Alejandro Garnacho dan Lenny Yoro manakala pemain Mesir, Sam Morsy ketuai kesebelasan utama Ipswich Town.
Pada minit ke-4, salah faham antara Patrick Dorgu dan Andre Onana dihukum oleh pemain Ipswich, Philogene-Bidace yang mudah menolak bola ke gawang yang kosong untuk gol awal pelawat.
Seakan tersentak, United cuba bangkit dan berjaya mencipta gol penyamaan apabila kapten Ipswich, Sam Morsy tertanduk hantaran Bruno Fernandes ke gawang sendiri pada minit ke-22.
Jaringan itu membangkitkan semangat United dan hasilnya 4 minit kemudian Matthijs de Ligt meledak gol kedua buat tuan rumah berpunca dari situasi kelam-kabut dalam kotak penalti lawan.
Malang menimpa United apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain apabila bek kiri, Patrick Dorgu dilayangkan kad merah setelah memijak kaki Omari Hutchinson pada minit ke-43.
Kesempatan ini digunakan oleh Ipswich untuk menjaringkan gol kedua apabila hantaran lintang oleh Philogene-Bidace menggelirukan Andre Onana sebelum menerjah ke gawang United.
Separuh masa pertama tamat, Manchester United 2-2 Ipswich Town.
Kembali dari rehat, Harry Maguire kembali meletakkan United di hadapan setelah tandukan pertahanan itu gagal dinafikan penjaga gol Ipswich ketika babak kedua baru berusia 2 minit.
Usaha Ipswich bagi memburu jaringan ketiga yang juga gol penyamaan selepas itu tidak berhasil apabila Ruben Amorim membawa masuk seramai mungkin untuk mengekalkan skor semasa.
Aksi di Old Trafford berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Manchester United.
Selepas ini, Manchester United akan memberi fokus kepada saingan FA Cup berdepan Fulham di laman sendiri manakala Ipswich Town akan menentang Nottingham Forest di tempat lawan.