Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino mengingatkan penyokong dan penganalisis bola sepak di luar sana bahawa pemain bola sepak bukan mesin.
Komen ini dibuat susulan permulaan kempen EPL yang kurang konsisten yang dihadapi Chelsea musim ini.
Sejak diambil alih oleh Todd Boehly pada musim lepas, The Blues telah membelanjakan £1 bilion (RM58 bilion) dalam tetingkap perpindahan. Begitupun, kemajuan yang diharapkan seiring dengan perbelanjaan yang dikeluarkan dilihat mengecewakan.
Bagaimanapun, Pochettino meminta penyokong bersabar dan memberi ruang kepada anak-anak buahnya terutama pemain-pemain muda beradaptasi dalam EPL.
“Di Chelsea, jangkaan orang di sini amat besar. Bila anda tiba di Chelsea sebagai pemain atau jurulatih, penyokong mengharapkan (kita) untuk menang, menjulang trofi, (tunjukkan) prestasi (bagus) dan menjaringkan gol.
“Kita sekarang mempunyai skuad muda, pemain-pemain yang dianggap pelaburan terbaik untuk kelab. Kita kena ingat bahawa mereka masih muda dan perlukan masa untuk beradaptasi (dengan liga) dan situasi yang menyelubunginya dan kekal tenang.
“Tidak adil untuk membuat penilaian selepas satu, dua (atau) tiga permainan dan kata si polan tidak menunjukkan prestasi bagus.
“Saya selalu guna contoh sama, Real Madrid bayar 80 juta euro (RM399 juta) untuk seorang pemain bernama Zinedine Zidane. Beliau seorang pemain yang hebat tetapi selepas enam bulan, anda tanya penyokong di (Stadium) Bernabeu dan mereka kata, ‘Pemain apa yang kita bawa ini?’
“Beliau mula tunjukkan prestasi bagus selepas tujuh atau lapan bulan. Zinedine Zidane ketika itu berumur 26 atau 27 tahun. Bila anda beli pemain berusia 20 atau 21 tahun, anda perlu berhati-hati.
“Mereka bukan mesin. Mereka perlukan (masa) untuk sesuaikan diri dengan keadaan yang berlaku dalam beberapa bulan terakhir. Kita perlu berikan (mereka) masa,” katanya seperti dipetik akhbar Metro.
Selepas tewas mengejut kepada Nottingham Forest pada 2 September lalu, Chelsea berharap dapat bangkit bila menentang Bournemouth di Stadium Vitality malam ini.