Salah sebuah media di Argentina berkongsi maklumat susur galur pemain warisan baharu Malaysia, Facundo Garces.
Garces diumumkan sebagai salah seorang pemain kacukan baharu skuad Harimau Malaya pada Isnin bagi memperkuat benteng pertahanan menjelang aksi menentang Vietnam di Bukit Jalil nanti.
Rata-rata peminat menyambut baik kehadiran Garces dalam skuad kebangsaan malah ada juga yang terkejut apabila ada pemain berdarah Malaysia yang bermain di La Liga bersama Deportivo Alaves.
Dalam masa yang sama, ada juga segelintir penyokong yang menyuarakan pendapat mengenai susur galur pemain tinggi lampai kelahiran Argentina ini sehingga membolehkan beliau mewakili Malaysia.
Menurut media Argentina, radiogol.com, Garces yang pernah beraksi untuk kelab Colon sebelum sertai Alaves di Sepanyol mempunyai hubungan dengan Malaysia melalui nenek beliau.
”Bagi Facundo Garcés yang pernah bermain bersama Colón, difahamkan hubungan beliau dengan Malaysia adalah melalui neneknya,” lapor media dari Argentina tersebut.
Kehadiran Garces ini sudah pastinya bakal memberi pilihan tambahan buat jurulatih Harimau Malaya, Peter Cklamovski dalam membentuk pasukan ampuh menjelang aksi bertemu Vietnam.
Ujian penting menanti pasukan Harimau Malaya adalah ketika aksi menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.