Kejayaan pasukan sepak takraw Malaysia menewaskan Thailand di final Piala Dunia Sepak Takraw menjadi buah mulut media ASEAN.
Pada Rabu, kem negara mencatat sejarah tersendiri dengan menggondol dua gelaran juara dunia bagi acara double dan regu dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024.
Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin menceriakan penyokong di Stadium Titiwangsa dengan menewaskan Thailand di pentas final acara double. Malaysia meraih kemenangan dengan keputusan 17-16, 15-13.
Momentum itu kemudiannya berjaya diteruskan oleh skuad regu negara yang dibarisi nama-nama besar seperti Syahir Rosdi, Farhan Adam dan Azlan Alias yang turun berdepan jaguh dunia, Thailand.
Dengan sorakan padu para peminat yang hadir, regu negara berjaya menamatkan dominasi dari negara Gajah Perang itu apabila mencatatkan kemenangan epik dalam aksi dua set dengan keputusan 15-8, 15-12.
Kejayaan menumpaskan Thailand ini telah membuka mata ramai pihak apabila lawan yang turun sebagai pasukan pilihan berjaya ditumpaskan dalam kedua-dua acara yang dipertandingkan.
Main Stand, yang merupakan portal sukan terkemuka di Thailand turut terkejut tatkala menyiarkan berita mengenai kekalahan skuad sepak takraw negaranya kepada pasukan Malaysia setelah aksi semalam.
“Mengejutkan. Skuad sepak takraw Thailand tewas kepada Malaysia dalam dua acara iaitu beregu dan regu di Piala Dunia Sepak Takraw setelah peraturan baharu diaplikasikan,” tulis Main Stand dalam satu hantaran di Facebook.
Antara peraturan baharu yang digunapakai dalam kejohanan ini adalah sistem 15 mata, servis bergilir-gilir dan kaki tekong tidak boleh diangkat ketika melakukan servis.
Kini, kem sepak takraw negara beralih perhatian kepada acara berpasukan dan Malaysia membuka gelanggang dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Brunei pada petang Khamis.