Pasukan Malaysia membuka aksi Piala Dunia Sepak Takraw bagi acara berpasukan dengan langkah kanan apabila tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Brunei pada petang Khamis.
Masih segar dengan kejayaan berganda yang diraih dalam acara beregu dan regu pada Rabu, skuad sepak takraw negara kini beralih perhatian bagi acara berpasukan dengan Brunei dan Jepun bakal menjadi lawan untuk peringkat kumpulan C.
Malaysia menurunkan barisan terkuat dengan regu pertama dianggotai oleh Amirul Zazwan, Haziq Hairul Nizam dan Baihakki A’rippin berjaya menyumbang mata pertama skuad negara.
Regu pertama negara ini mempamerkan aksi cemerlang dengan serangan bertali arus dan memanfaatkan kesilapan regu Brunei untuk mendapatkan kemenangan buat Malaysia dengan keputusan 15-11, 15-7.
Mata kedua buat pasukan negara kemudiannya disumbang oleh regu seterusnya yang terdiri daripada Zarif Merican, Zaim Razali dan Aidil Aiman yang berjaya menidakkan peluang Brunei untuk melakukan kebangkitan.
Gandingan trio muda ini mudah berhasil mendapatkan kemenangan 15-7, 15-8 untuk memastikan Malaysia kekal mendahului 2-0 ke atas Brunei.
Regu ketiga yang juga regu terakhir negara dibarisi oleh dua tonggak berpengalaman, Farhan Adam dan Azlan Alias sambil pemain muda, Zuhri Muhammad Zain diberi peranan sebagai tekong.
Jelas, pengalaman dan ketenangan dimiliki regu utama negara ini menjadi pemisah untuk sekali lagi tidak berdepan masalah untuk menewaskan regu dari Brunei untuk menyumbang mata terakhir buat Malaysia.
Keputusan 15-6, 15-6 akhirnya berjaya diraih regu terakhir sekaligus mengesahkan kemenangan 3-0 buat skuad sepak takraw negara bimbingan Ahmad Jais Baharun.
Kemenangan ini meletakkan skuad negara di tangga teratas kumpulan dengan tiga mata manakala Brunei berada di tempat tercorot tanpa sebarang mata.
Selepas ini, Malaysia dijadualkan berdepan Jepun pada Jumaat jam lapan malam di Stadium Titiwangsa dalam misi memastikan tempat ke peringkat kalah mati menjadi kenyataan.