Sebuah laman media Australia melihat ancaman besar yang dibawa oleh 3 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelang aksi AFC Champions League Elite (ACLE) berdepan Central Coast Mariners (CCM).
JDT hadir ke Australia dengan misi penting untuk membawa pulang 3 mata untuk mengukuhkan tempat dalam kelompok 8 terbaik berbekalkan momentum 9 kemenangan berturut-turut.
Sementara, CCM pula turun pada aksi ini nanti sekadar untuk melengkapkan jadual apabila berada di tangga tercorot ACLE dan tidak memiliki peluang bagi mara ke pusingan 16 terbaik.
Menjelang aksi hangat antara CCM vs JDT ini, salah sebuah media di Australia, The Roar sempat menganalisa kekuatan skuad Harimau Selatan ini yang dilihat cukup merbahaya di sebelah sayap.
“Dari perspektif serangan, JDT telah menghabiskan masa bagi kempen ini dengan menggerakkan bola melalui sayap mereka,” ujar The Roar.
Malah, The Roar turut melihat kehadiran Arif Aiman dan Juan Muniz di sebelah sayap berpotensi untuk memberi ancaman buat bentang CCM dengan statistik cemerlang duo ini musim ini.
“Di sebelah kanan, Arif Aiman Hanapi adalah tonggak utama dengan empat gol dan satu bantuan jaringan, tambah media dari Australia itu lagi.
“Di sebelah kiri, pemain Sepanyol, Juan Muñiz, yang direkrut 4 tahun lalu dari liga utama Greece, telah menjadi penggerak utama, memberi 2 bantuan gol setakat ini, namun berpotensi menghasilkan jaringan.”
Selain Arif dan Muniz, laman media tersebut menilai impak besar oleh peledak JDT, Bergson yang pasti mempamerkan bisa sebenar sekiranya berada di tahap prestasi terbaik.
“Di antara mereka, penyerang dari Brazil, Bergson ini boleh dikatakan umpama raksasa yang tidur, dengan hanya satu gol setakat ini akan tetapi jika dia bangun, berjaga-jagalah,”
Oleh itu, The Roar mahu CCM agar kekal berdisiplin dan lebih peka dalam membaca permainan dan pergerakan lawan bagi menghalang kemaraan 3 peledak pasukan Harimau Selatan ini.
“Oleh kerana JDT sangat aktif di kawasan sayap, disiplin dan membaca permainan dengan bijak menjadi amat penting bagi menghalang 3 penyerang JDT ini daripada mencipta kekacauan.”
“Sama ada dengan melakukan gerakan individu atau menghubungkan antara satu sama lain.”
Aksi Central Coast Mariners vs JDT bakal berlangsung pada Selasa, 11 Februari di tempat lawan dengan sepak mula jam 4 petang waktu Malaysia.