Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva sudah semakin hampir untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
Nama Bergson menjadi bualan hangat peminat apabila DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor memaklumkan bahawa pemain kelahiran Brazil ini antara calon naturalisasi Malaysia.
“Bergson boleh dinaturalisasikan sebagai pelan jangka pendek selepas beraksi 5 tahun di Malaysia,” kata DYAM Tunku Ismail.
Malah, Bergson sebelum ini juga tidak menolak kemungkinan tersebut dan bersedia menyarung jersi Harimau Malaya jika diperlukan kerana merasakan Malaysia umpama rumah buat dirinya
“Anda menjumpai cara terbaik untuk saya dan juga Harimau Malaya. Saya sentiasa di sini kerana macam saya katakan, saya rasakan di sini (Malaysia) seperti rumah sendiri,” ujar Bergson.
Terbaharu, peledak berusia 33 tahun itu seakan memberi petanda jelas bakal menjadi memiliki kerakyatan Malaysia setelah mengemas kini bendera negara di bio Instagram rasmi beliau.
Selain itu, wartawan terkemuka Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam turut melaporkan Bergson telah pun bergelar tonggak naturalisasi Malaysia berdasarkan bayangan yang diberikan oleh pemain itu.
“Bergson beri bayangan sudah menjadi pemain naturalisasi negara,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Andai benar proses naturalisasi Bergson sudah selesai, ini umpama satu tonik tambahan buat skuad Harimau Malaya bimbingan Peter Cklamovski untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027.
Selain Bergson, nama Manuel Hidalgo turut pernah dikaitkan bakal menjadi pemain baharu skuad Harimau Malaya setelah berada di Malaysia sejak bulan Mei 2021 yang lalu.