Media Eropah Ulas Tahap Disiplin Chelsea Bertemu JDT
MakanBola
Johor Southern Tigers

Tahap disiplin Chelsea untuk menghadapi Liga Perdana Inggeris (EPL) dilihat membimbangkan susulan aksi terakhir jelajah pramusim pasukan itu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini.

The Sun melaporkan tahap disiplin yang kurang memberangsangkan terserlah apabila pasukan itu mengutip lima kad kuning. JDT pula dilayangkan tiga kad kuning sepanjang perlawanan.

Hal ini tidak dibantu dengan terjahan keras kedua-dua pasukan untuk mendapatkan penguasaan bola. Hal ini mencetuskan perbalahan dalam kalangan pemain JDT dan Chelsea.

Misalnya, penyerang Chelsea, Liam Delap dikesan bertelagah dengan pemain JDT seawal minit ke-20. Beliau kemudiannya dilayangkan kad kuning kerana memberi reaksi terhadap terjahan Eddy Israfilov 25 minit selepas itu.

Penyerang Senegal, Nicolas Jackson pula dikesan memegang leher pemain JDT semasa bertelagah. Bek tengah The Blues, Tosin Adarabioyo pula dilihat sentiasa bersemuka dengan pemain JDT bagi mempertahankan rakan sepasukannya.

Sekiranya situasi ini berlanjutan apabila musim 2026/27 bermula, ini bakal mencetuskan isu disiplin yang merencatkan perancangan pengurus pasukan itu, Xabi Alonso.

Rekod disiplin Chelsea dalam EPL sangat teruk pada musim lalu. Pasukan itu telah mengutip lapan kad merah dengan bekas pengurus pasukan, Enzo Maresca turut menerima nasib sama.

Bek tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Giancarlo Gallifuoco percaya situasi ini berlaku kerana pemain-pemain Chelsea kurang matang bila berdepan situasi disiplin.

“Saya tidak tahu bagaimana beliau (Xabi Alonso) akan menerimanya. Beliau akan menganggapnya sebagai pemain saya telah mengambil perkara ini dengan serius, mereka mahu menang, mereka berjuang untuk satu sama lain.

“Atau beliau boleh menganggapnya sebagai ketidakmatangan. Beliau boleh menganggapnya sebagai kehilangan teras (emosi) anda.

“Saya tidak boleh membiarkan anda kehilangan teras (emosi) anda apabila kita berada di tempat lawan di Manchester City dan perkara ini berlaku. Jadi, ia akan menjadi sangat menarik untuk melihat bagaimana beliau mentafsirkannya,” katanya kepada Stadium Astro.

Chelsea kini akan mengharungi satu lagi aksi persahabatan menentang Real Sociedad di Stamford Bridge pada 15 Ogos ini.