Disebalik kemenangan selesa Malaysia ke atas India dalam aksi pertama Pestabola Merdeka pada Jumaat 13 Oktober, atmosfera yang dicipta penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) juga menarik perhatian ramai.
Baru-baru ini, satu video telah tular di media sosial yang memaparkan atmosfera luar biasa di SNBJ. Penyokong-penyokong Harimau Malaya mengibarkan bendera negara Palestin sebagai tanda sokongan terhadap negara berkenaan yang kini diserang dengan kejam oleh rejim zionis Israel.
Video tersebut telah dikongsikan oleh media dari Iraq, Kurdiu dan telah meraih 680 ribu tontonan sehingga setakat artikel ini ditulis. Tinjauan di ruangan komen juga memuji tindakan penyokong Malaysia yang menunjukkan solidariti buat saudara mereka di Palestin.
Atmosfera itu dijangka berterusan menjelang aksi akhir Pestabola Merdeka yang menemukan Malaysia dan Tajikistan yang dijadualkan berlangsung malam ini. Dijangkakan lebih 30 ribu penyokong Harimau Malaya akan membanjiri SNBJ pada aksi penting itu.
Sebelum ini, penyokong kelab Celtic juga telah mengibarkan bendera Palestin dan menaikkan kain rentang tanda sokongan penuh terhadap negara Palestin. Biarpun pernah didenda UEFA kerana insiden yang sama, mereka membantu pihak kelab untuk membayar denda tersebut.