Kerana berang dengan keputusan pengadil, sekumpulan pemain bola sepak berusia antara 30-an hingga 40-an dilaporkan bergaduh di Butterworth, Pulau Pinang baru-baru ini.
Video insiden pergaduhan tersebut tular di media sosial sejak semalam. Malah, video tersebut turut menarik perhatian Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Lantaran itu, tiga lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an telah ditahan polis untuk siasatan lanjut.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad memaklumkan telah menerima satu laporan berkenaan insiden tersebut.
“Polis semalam mengesan satu rakaman video tular di media sosial berkenaan pergaduhan sekumpulan individu selepas selesai perlawanan bola sepak di Butterworth.
“Kejadian telah berlaku kelmarin (25 Februari) dan tindakan telah diambil dengan menahan tiga suspek (pada hari kejadian) selepas satu laporan polis berhubung insiden itu diterima.
“Pada masa sama terdapat perbuatan provokasi sesama pihak dengan cara mempamerkan mimik muka dan gerak badan ketika perlawanan berlangsung,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Orang ramai yang memiliki sebarang maklumat tentang insiden pergaduhan tersebut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-5762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.