Bekas jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengingatkan pemain-pemain tempatan agar bekerja keras agar dapat merebut tempat dalam skuad Harimau Malaya.
Ini kerana persaingan merebut slot skuad kebangsaan semakin sengit lebih-lebih lagi dengan kehadiran pemain warisan dan naturalisasi.
Meskipun ada pihak bimbang kehadiran lebih ramai pemain berstatus berkenaan boleh menjejaskan peluang pemain tempatan merebut slot Harimau Malaya, Nidzam memilih untuk bersikap positif.
Ini kerana kehadiran pemain warisan dan naturalisasi seharusnya menjadi pendorong semangat buat pemain untuk tampil lebih cemerlang. Ini sekaligus membuka ruang buat mereka mewakili Harimau Malaya di peringkat antarabangsa.
“Pasarannya sudah terbuka, pemain naturalisasi dan warisan ada hak secara undang-undang untuk mewakili Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Dan saya rasa ini satu cabaran buat semua pihak mewujudkan persaingan yang lebih baik. Kalau bakat tempatan pilih untuk putus asa, itu tunjukkan kekuatan mental kita tak cukup untuk bersaing.
“Jadi, saya harap dengan pemain naturalisasi dan warisan ini, dapat bagi maklum balas yang bagus. Bukan saja dari segi keputusan tetapi bantu pemain muda melonjak naik, pengurusan pun melonjak naik dan liga kita lebih baik dan teratur.”
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend memaklumkan empat pemain warisan kini dalam proses mendapatkan kerakyatan.
Salah seorang daripadanya ialah seorang pemain yang berasal dari Belanda dan kini dalam proses terakhir mendapatkan pasport Malaysia.