Malaysian Football League (MFL) telah mengumumkan kemas kini jadual Liga Super 2024/25 bagi bulan Oktober dan November.
Hal ini melibatkan perlawanan minggu 14 sehingga minggu 16 yang akan bermula pada 25 Oktober 2024 sehingga 30 November.
MFL dalam satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa jadual perlawanan bagi bulan Oktober dan November ini dikeluarkan lebih awal bagi membolehkan kelab-kelab Liga Malaysia membuat persiapan lebih baik khususnya melibatkan aspek logistik pasukan.
“Pengumuman jadual perlawanan dalam tempoh dua bulan itu juga memberi ruang kepada MFL untuk menilai dan mengkaji susunan jadual terbaik dalam tempoh pertandingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2024 berlangsung iaitu pada tarikh 8 Disember 2024 sehingga 5 Januari 2025.
“Pada mulanya, MFL mendapat makluman pada 14 November 2023 daripada pihak penganjur Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) bahawa tarikh asal Piala AFF adalah pada 23 November 2024 sehingga 21 Disember 2024 sebelum diubah pada tarikh baharu iaitu 8 Disember 2024 sehingga 5 Januari 2025,” ujar kenyataan MFL.
MFL berusaha untuk memastikan perubahan tarikh saat akhir itu tidak menjejaskan perancangan awal kalendar Liga Malaysia pada bulan Disember termasuklah usaha untuk merangka semula jadual bagi baki saingan musim ini.
Usaha ini bagi memberi ruang kepada dua kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) yang membawa nama Malaysa dalam saingan AFC Champions League Elite (ACLE) 2024/25 dan Selangor yang beraksi di AFC Champions League Two (ACL2) melakukan persediaan lebih baik.
MFL juga memberi perhatian penuh berikutan penyertaan dua wakil di Asean Shopee Cup iaitu Terengganu dan Kuala Lumpur City dengan aksi bersambung pada bulan Januari 2025 dan Februari 2025.
MFL bukan sahaja berusaha untuk menjaga kepentingan kelab yang terlibat dalam saingan AFC dan AFF namun turut berbincang bersama FAM untuk mencari solusi bersesuaian dengan kelab Liga Malaysia.
Ini bagi memastikan kelancaran persediaan pasukan kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF berlangsung pada Disember ini.
Baki jadual Liga Malaysia musim 2024-2025 akan diumumkan oleh MFL dalam masa terdekat untuk memastikan kelancaran setiap pasukan yang bertanding.
MFL juga baru-baru ini telah meluluskan pendaftaran kuota 12 pemain import bagi kelab Liga Malaysia yang beraksi di Asia dan Asia Tenggara musim ini.