Terdahulu, bekas pemain kebangsaan, Jamal Nasir ada membongkar terdapat segelintir individu yang tidak mempunyai lesen jurulatih bertauliah didaftarkan sebagai jurulatih pasukan.
Menurut satu kenyataan daripada Ketua Pegawai Eksekutif (MFL), Stuart Ramalingam, beliau menyatakan akan sedia memburu mana-mana pihak yang menggunakan cara tersebut demi keuntungan sendiri.
Tambah Stuart, beliau menjelaskan bahawa MFL tidak akan meluluskan pendaftaran tersebut jika seseorang itu tidak menjalani proses saringan dengan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).
“Untuk pendaftararan jurulatih kelab yang bertanding Liga Malaysia (Liga Super dan Liga Perdana) sama ada tempatan atau asing, mereka perlu mendapat kelulusan MFL.
“Antara syarat wajib bagi pendaftaran jurulatih bagi sesebuah kelab ialah perlu berdaftar dan menjadi ahli PJBM). MFL menpunyai kerjasama baik dengan PJBM dan sentiasa memastikan ketelusan polisi yang ditetapkan mendapat sokongan PJBM dan dasar yang melindungi hak jurulatih di Liga di bawah pengelolaan MFL.
“PJBM mempunyai proses saringan sendiri sebelum membenarkan jurulatih berkaitan menjadi ahli. MFL tidak akan meluluskan pendaftaran jurulatih yang tidak menjadi ahli PJBM,” kata Stuart kepada Arena Metro.
Stuart Ramalingam dalam pada itu menyeru kepada individu yang menyuarakan isu ini untuk tampil memberi penjelasan kepada MFL untuk tindakan selanjutnya. Beliau menegaskan menjadi kesalahan apabila lesen bertauliah digunakan oleh individu lain dan tidak teragak-agak untuk menghukum individu tersebut.
“Bagi jurulatih luar negara pula, pihak MFL dan kelab akan menyemak dan mendapatkan ‘Recognition of Coaching Competency’ (RECC) daripada AFC melalui FAM.
“Manual Liga M juga mempunyai Klausa 4.4.12 iaitu Lesen Pegawai Kelab yang bertanding dalam Liga M tidak boleh digunakan individu lain dan jika didapati lesen tersebut digunakan individu lain, maka MFL berhak mengenakan tindakan.
“MFL sentiasa sangat serius dalam kriteria kejurulatihan mengikut manual kami dan keperluan Pelesenan Kelab dan oleh itu, jika terdapat sebarang tuduhan seperti ini, saya amat meminta pihak berkaitan tampil ke MFL melaporkan isu ini dan untuk MFL mengambil tindakan yang perlu,” katanya.