MFL Tarik Balik Saman Ke Atas TM
Dunia
Advertisements

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia Berhad (TM), berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia (Liga M).

MFL dalam kenyataan hari ini berkata, keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu, dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan itu menjelaskan tindakan menarik balik saman terhadap TM membuktikan semangat kesukanan tinggi, yang telah terjalin antara pengendali Liga M dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

Advertisements

“Saya mengesahkan bahawa MFL telah bersetuju untuk menarik balik tuntutan saman terhadap TM, selepas mencapai persetujuan dengan kesemua barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL.

“Tindakan MFL menarik balik saman terhadap TM berkaitan isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia musim 2019 membuktikan semangat kesukanan di antara MFL dan TM, di mana saya percaya kita boleh mencari titik persamaan demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan itu.

Jelas Hamidin, tindakan manarik balik tuntutan saman itu juga demi kelangsungan hubungan baik antara dua entiti tersebut, selain mewujudkan suasana kondusif dalam memajukan arena bola sepak negara.

Advertisements

“Saya optimis bahawa situasi ini akan menjadikan hubungan MFL dan TM terjalin lebih utuh, di mana saya percaya semua peminat bola sepak mahu melihat suasana kondusif dapat diwujudkan sekali gus memberikan mesej bahawa syarikat korporat perlu bergerak seiring dalam memajukan bola sepak negara,” katanya.

TM sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada Januari 2018 dengan jumlah keseluruhan yang difahamkan sekitar RM480 juta.

Namun, pada 15 Mac lalu MFL mengumumkan untuk menamatkan kontrak itu berkuat kuasa serta-merta selepas TM didakwa gagal menjelaskan pembayaran hak penyiaran musim ini.

Advertisements

— BERNAMA

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram