MFL Teruskan Kerjasama Data & Statistik Bersama Genius Sports
MakanBola
MFL

Malaysian Football League (MFL) memperbaharui kerjasama dari segi data dan statistik bersama Genius Sports.

Pembaharuan kerjasama itu diumumkan dalam satu majlis yang diadakan pada Khamis. Kerjasama ini akan diteruskan selama lima tahun hingga musim 2029/30.

Kerjasama dimeterai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd dan Ketua Pegawai Perkongsian Strategik (CSPO) Genius Sports, Steven Burton.

Majlis turut disaksikan Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan dan Naib Presiden Perkongsian Strategik Sukan di Genius Sports, Mohamed Feizel.

Genius Sports menerusi sistem Football LiveStats akan merekod dan mengedarkan statistik rasmi perlawanan dari setiap perlawanan liga.

Ini sekaligus menyediakan kemaskini secara langsung kepada peminat bola sepak Malaysia melalui laman web, siaran langsung dan platform media lain.

Ghani berpandangan perjanjian ini bukan saja akan memberi impak positif kepada Liga Malaysia (Liga M). Malah, ini secara tidak langsung membantu liga mengeratkan hubungan dengan penyokong.

“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan kami terhadap keupayaan Genius Sports untuk terus membangunkan aspek digital dan komersial Liga Malaysia melalui teknologi terkini, sekali gus membawa liga ini lebih dekat dengan peminat tempatan,” katanya.

“Dalam era bola sepak moden yang dipacu teknologi dan inovasi, data dan statistik secara langsung adalah penting untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada penyokong Liga Malaysia.

“Melalui kerjasama ini bersama Genius Sports, kami berharap dapat mewujudkan platform terbaik bagi pengumpulan dan pengedaran data perlawanan secara langsung kepada MFL dari musim ini hingga 2029–2030.”

Pandangan Ghani turut dipersetujui oleh Burton. Beliau melihat menerusi pemeteraian perjanjian ini, ini akan membuka era baru buat bola sepak negara di peringkat global.

“MFL telah membina reputasi sebagai salah satu organisasi paling inovatif dan canggih dari segi teknologi dalam bola sepak Asia, dan kami teruja untuk meneruskan kerjasama ini.

“Teknologi kami yang terbukti akan meningkatkan pengalaman peminat dalam setiap perlawanan serta membuka peluang pendapatan baharu untuk perkembangan bola sepak Malaysia di peringkat global,” ujarnya.

Perjanjian ini dilihat signifikan untuk membantu meningkatkan lagi mutu Liga M. Liga M ketika ini berada di kedudukan ke-11 daripada 47 negara Asia.

Claim Money Packet TnG